Friday, 7 December 2012

ERTI SYUKUR

Gemar sungguh aku mencoret di blog ini pada waktu-waktu sebegini. Waktu yang bisa aku coretkan dengan kata-kata yang indah, seindah perasaan ku pada masa ini. Sememangnya pengalaman aku keluar makan malam bersama-sama sahabat tadi mengukir senyuman di bibir ku. Sudah lama rasanya aku tidak keluar untuk menikmati makan malam bersama mereka. Apabila sudah lama tidak bertemu, pelbagai topik cuba diperbualkan. Ada yang suka, duka dan ada juga yang geli hati. Melihat telatah mereka benar-benar membuat aku gembira. Benar kata orang, jika jarang bertemu pasti akan terasa rindu, apabila kerap bersama pasti jemu menjelma. Itu lah lumrah manusia. Aku sudah terlalu masak dengan sikap manusia termasuk diri aku sendiri.

Aku teringat kembali saat aku menikmati makan malam aku sebentar tadi. Aku menadah tangan bersyukur kerana aku diberi kesempatan untuk menikmati segalanya. Keinginan ku, nafsu makan ku, semuanya sempurna dan bisa aku nikmati kapan pun. Aku terkenang akan nasib orang yang tidak seperti ku. Adakah mereka dapat menikmati makan malam seperti ku? Mesti sukar bagi mereka. Namun begitu, aku benar-benar memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Mu Ya Allah SWT. Kau memberi ruang sempurna kepada hamba mu ini. Walaupun kau tidak memberi nasib yang serupa kepada mereka, tetapi kau anugerahkan semangat kepada mereka yang tidak ada pada diri ku. Sungguh indah aturan hidup Mu kepada hamba-hambaMu Ya Allah.

No comments:

Post a Comment